Tuesday, 21 June 2011

NanO sUmm!t & eXpO 2011







KUALA LUMPUR (15 Jun 2011) : Y.B. Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merasmikan NanoMalaysia Summit and Expo 2011 pada hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian anugerah kepada lima Pusat Kecemerlangan NanoMalaysia iaitu Pusat Inovatif Nanostruktur dan Nanoperanti Universiti Teknologi Petronas; Institut Ibnu Sina bagi Pengajian Sains Asas UTM; Institut Kejuruteraan Mikro dan Nano Elektronik UKM; Institut Kejuruteraan Nano Elektronik UniMAP  dan Pusat Nanolektronik MIMOS.

Nanoteknologi merupakan teknologi abad ke-21 yang memberi impak sosio-ekonomi yang besar di peringkat global dan tempatan. Justeru, pembangunan nanoteknologi di Malaysia perlu diberi perhatian dan diselaraskan bagi mendokong agenda kebangsaan dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada negara. 

Sehubungan itu, Mesyuarat Majlis Inovasi Negara yang dipengerusikan Y.A.B. Perdana Menteri pada 29 Oktober 2009 telah mengenalpasti nanoteknologi sebagai jentera pertumbuhan kepada Model Ekonomi Baru Negara dan menyarankan nanoteknologi diberikan keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10). Menyahut kepada saranan Kerajaan, Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND), MOSTI telah mengambil inisiatif menganjurkan NanoMalaysia Summit and Expo 2011.

NanoMalaysia Summit and Expo 2011 yang berlangsung selama tiga hari mulai 14 hingga 16 Jun 2011 adalah bertujuan untuk menyampaikan pelan strategik, membincangkan dasar dan hala tuju penyelidikan dan pembangunan modal insan dalam nanosains dan nanoteknologi, membentuk kerjasama antara industri, akademia dan pentadbiran nanoteknologi di samping memupuk kesedaran awam dan pengetahuan mengenai keselamatan dan pembangunan nanosains dan nanoteknologi. 

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menjadi satu perhimpunan nanoteknologi antara penyelidik, pengamal, pengurus tadbir dan wakil industri tempatan serta saintis tersohor untuk membincangkan isu berkaitan nanoteknologi seperti pendidikan, kesihatan, metrologi, pemiawaian, keselamatan dan impak sosial serta menjalin rangkaian dan membentuk pangkalan data nanoteknologi negara. 

Pameran berkaitan dengan nanoteknologi turut diadakan selama tiga hari bagi para pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan penerangan dengan lebih lanjut lagi mengenai perkembangan nanoteknologi negara.

Antara institusi-institusi yang terlibat ialah UKM, USM, UM, UPM, UTM, UiTM, UniMAP, MGI, NUKLEAR MALAYSIA dan syarikat-syarikat seperti Crest Group; Perkin-Elmer Instruments (M) Sdn Bhd, Bruker (M) Sdn Bhd: Interscience Sdn Bhd; NanoLab Instruments (M) Sdn Bhd dan Senai Hi-Tech Park Sdn Bhd.











No comments:

Post a Comment